Wednesday, October 20, 2010

Roselle segar dari laman rumah

Petang tadi sempat juga curi masa membelek pokok-pokok di laman. Mengidamkan laman cantik, sejuk menghijau masih lagi belum kesampaian.... Pokok yang ditanam tidak begitu ‘menjadi’! seperti hidup segan mati tak mau... Mungkin kesibukan dan kesempitan masa tak dapat beri perhatian rapi pada pokok dilaman. Itulah alasan klise yang selalu diberikan kalau apa yang dilakukan tidak berhasil. Sibuk. Tak cukup masa...

Tetapi lain pula jadinya dengan pokok roselle yang satu ni...agak subur dan menghasilkan buah yang segar.. Pokok roselle ini adalah pemberian dari rakan sepejabat. Sahlah roselle, pokok yang mesra, tahan lasak dan tidak banyak kerenah. Walaupun dilayan sama dengan pokok-pokok yang lain, roselle masih hidup subur, berbunga dan berbuah...

Petang tadi saya sempat memetik buah-buah roselle yang berwarna merah pekat itu dan memasaknya untuk membuat air minuman. 
20102010 - Tuaian  pertama Roselle dari laman saya

Roselle sedang dimasak - tengah mendidih..


Bangga dapat meneguk air roselle segar hasil tanaman sendiri. Sedap rasanya masam-masam manis. Warnanya sungguh cantik kemerahan pekat menunjukkan ia kaya dengan beta kerotin. Dipercayai baik untuk menyahkan radikal bebas, melancarkan peredaran darah, merendahkan paras kolestrol dalam darah, mengurangkan tekanan darah tinggi.

Air roselle yang telah dimasak - masih segar untuk diminum


Pokok roselle atau nama saintifiknya Hibiscus Sabdariffa I, mempunyai banyak kegunaan dan khasiatnya. Selain daripada dibuat minuman kelopak buahnya boleh dijadikan halwa, jeli, dan serbuk teh. Pucuk mudanya boleh dimakan sebagai ulam atau salad. Dan biji mengandungi minyak yang baik untuk kesihatan.

Antara khasiat lain yang terdapat pada roselle (sumber: Jabatan Pertanian);

·         Melegakan demam dan selsema
·         Bertindak sebagai anti penuaan
·         Mencegah kanser
·         Merawat alahan, resdung dan lelah
·         Mencegah Penyakit Kardiovaskular
·         Baik untuk mengatasi masalah sukar tidur. 

Monday, October 11, 2010

Buah-buahan berkhasiat mengikut Al-Qur’an

Terdapat beberapa buah-buahan yang berkhasiat untuk kesihatan dan disebut secara khusus dalam Al-Qur’an yang juga merupakan buah-buahan terdapat dalam syurga antaranya:
  • Pisang - (Surah Al-Waqiah: Ayat 28-33)
  • Anggur – (Surah Al-Mukminum: Ayat 19)
  • Delima – (Surah Al-An’am: Ayat 141)
  • Zaitun – (Surah An-Nahl: Ayat 10-11)
  • Kurma – (Surah Ar-Ra’d: Ayat 4)
Buah-buahan yang tersebut di atas mempunyai khasiat tersendiri yang amat diperlukan untuk kesihatan tubuh badan manusia;

Pisang
Pisang adalah buah yang amat berkhasiat. Ia mengandungi zat karbohidrat dan kadar zat potassium yang amat tinggi. Kadar potassium yang tinggi ini membantu mengeluarkan bahan yang tidak diperlukan daripada tubuh manusia. Ia juga dapat menurunkan tekanan darah tinggi serta menggalakkan perkembangan sel dan otot. Pisang juga kaya dengan vitamin B6 yang dipercayai dapat menormalkan fungsi otak. Ia dapat menggalakkan pengeluran sel darah merah dan memberi daya sabar dalam menghadapi ketegangan.

Anggur
Anggur kaya dengan vitamin dan zat mineral. Kandungan zat besi dan gula dalam buah anggur mengawal pengeluaran darah dan bertindak sebagai ubat semulajadi bagi penyakit hati, buah pinggang dan sistem penghadaman. Anggur juga dapat meredakan tekanan darah tinggi.

Delima
Buah delima mengandungi bekalan potassium yang paling tinggi di samping zat mineral lain seperti fosforus, kalsium, besi dan sodium serta vitamin A, B1, B2, B3, dan C. Gabungan potassium dan sodium bertindak mengawal keseimbangan air dalam badan dan memastikan jantung berdegup dengan normal. Keseimbangan potassium-sodium juga akan membantu deria urat saraf dan otot-otot berfungsi secara normal, mencegah edema dan menurunkan paras gula dalam darah.


Buah Zaitun
Buah zaitun didapati kaya dengan asid linolik. Ia amat baik untuk merawat penyakit arteriosklerosis dan diabetes. Meminum minyak dapat mengurangkan paras kolesterol dalam darah. Buah zaitun dapat menggiatkan pengeluaran cecair hempedu. Kajian telah menunjukkan bahawa minyak zaitun dapat mencegah penyakit arteri koronari dengan pengurangan tahap LDL sementara itu meningkatkan tahap kolesterol yang berguna HDL dalam darah. Vitamin E, A, D dan K dapat menguatkan tulang dengan mestabilkan kalsium. Vitamin tersebut juga bertindak memperbahrui sel yang berjaya melambatkan proses penuaan serta dapat menjaga kulit. Selain daripada itu ia juga dapat menolong memberi kekuatan badan dan umur panjang serta baik untuk arteri serebral (otak) yang sihat. Terdapat banyak lagi kebaikan minyak zaitun kepada kesihatan tubuh badan kita!

Buah Kurma
Buah kurma mengandungi 50% gula yang terdiri dari fruktos dan glukosa, dapat dihadam dengan mudah dan cepat. Ia dapat menenangkan urat saraf yang dapat dapati mengatasi keletihan dengan segera. Buah kurma juga mengandungi mineral penting seperti potassium, sodium, kalsium, zat besi dan kuprum membantu menghantar oksigen ke bahagian otak membantu meningkatkan daya pemikiran yang baik. Banyak lagi kelebihan buah kurma, yang merupakan buah yang paling berkhasiat untuk kesihatan.

Sumber rujukan: KEINDAHAN HIDUP DALAM AL-QUR'AN - oleh: Harun Yahya