Wednesday, October 20, 2010

Roselle segar dari laman rumah

Petang tadi sempat juga curi masa membelek pokok-pokok di laman. Mengidamkan laman cantik, sejuk menghijau masih lagi belum kesampaian.... Pokok yang ditanam tidak begitu ‘menjadi’! seperti hidup segan mati tak mau... Mungkin kesibukan dan kesempitan masa tak dapat beri perhatian rapi pada pokok dilaman. Itulah alasan klise yang selalu diberikan kalau apa yang dilakukan tidak berhasil. Sibuk. Tak cukup masa...

Tetapi lain pula jadinya dengan pokok roselle yang satu ni...agak subur dan menghasilkan buah yang segar.. Pokok roselle ini adalah pemberian dari rakan sepejabat. Sahlah roselle, pokok yang mesra, tahan lasak dan tidak banyak kerenah. Walaupun dilayan sama dengan pokok-pokok yang lain, roselle masih hidup subur, berbunga dan berbuah...

Petang tadi saya sempat memetik buah-buah roselle yang berwarna merah pekat itu dan memasaknya untuk membuat air minuman. 
20102010 - Tuaian  pertama Roselle dari laman saya

Roselle sedang dimasak - tengah mendidih..


Bangga dapat meneguk air roselle segar hasil tanaman sendiri. Sedap rasanya masam-masam manis. Warnanya sungguh cantik kemerahan pekat menunjukkan ia kaya dengan beta kerotin. Dipercayai baik untuk menyahkan radikal bebas, melancarkan peredaran darah, merendahkan paras kolestrol dalam darah, mengurangkan tekanan darah tinggi.

Air roselle yang telah dimasak - masih segar untuk diminum


Pokok roselle atau nama saintifiknya Hibiscus Sabdariffa I, mempunyai banyak kegunaan dan khasiatnya. Selain daripada dibuat minuman kelopak buahnya boleh dijadikan halwa, jeli, dan serbuk teh. Pucuk mudanya boleh dimakan sebagai ulam atau salad. Dan biji mengandungi minyak yang baik untuk kesihatan.

Antara khasiat lain yang terdapat pada roselle (sumber: Jabatan Pertanian);

·         Melegakan demam dan selsema
·         Bertindak sebagai anti penuaan
·         Mencegah kanser
·         Merawat alahan, resdung dan lelah
·         Mencegah Penyakit Kardiovaskular
·         Baik untuk mengatasi masalah sukar tidur. 

1 comment:

Kebun Bandar said...

Rosel di rumah saya alhamdulillah sudah 4 tahun berada di rumah. Entah generasi ke berapa tetapi masih utuh mengeluarkan buah setiap generasi. Cuma ada kala ia diserang bena. Manis rasanya. Saya ambil sikit abu dari sampah sarap dan tabur keliling pokok. Dalam masa beberapa jam bena hilang.